Oleh Hayar Hassan.
Sebelum ini, saya telah pernah menulis sekitar langkah Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas pindaan Perlembagaan yang menyebabkan kelulusan, tandatangan Yang di Pertuan Agong tidak lagi perlu untuk menjadikan suatu Akta Parlimen sebagai undang-undang. Impak terhadap pindaan Perlembagaan itu terlalu besar sekali. Banyak pihak menilai bahawa kuasa yang dimiliki oleh seorang Perdana Menteri Malaysia selepas pindaan tersebut adalah terlalu besar dan sukar untuk diganggugugat.
Read More / Baca Lagi >>
Sebelum ini, saya telah pernah menulis sekitar langkah Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas pindaan Perlembagaan yang menyebabkan kelulusan, tandatangan Yang di Pertuan Agong tidak lagi perlu untuk menjadikan suatu Akta Parlimen sebagai undang-undang. Impak terhadap pindaan Perlembagaan itu terlalu besar sekali. Banyak pihak menilai bahawa kuasa yang dimiliki oleh seorang Perdana Menteri Malaysia selepas pindaan tersebut adalah terlalu besar dan sukar untuk diganggugugat.
Namun demikian, seperti lazimnya, musuh-musuh politik Tun Dr Mahathir Mohamad memang cepat untuk menyatakan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad tidak ikhlas dalam permintaan maafnya, sekadar lakonan orang politik sahaja. Malah ada yang menyamakannya seperti filem “Bollywood” sahaja. Sepertinya, mudah meremehkan pandangan orang lain yang tidak sehaluan dengan kita sudah menjadi begitu lumrah bagi rakyat Malaysia, terutamanya bagi orang-orang politik.
Sepatutnya lontaran sesuatu idea daripada negarawan seperti Tun Dr Mahathir Mohamad perlu diberikan perhatian kerana beliau adalah mantan Perdana Menteri Malaysia Ke 4. Sepatutnya idea yang bakal memberikan banyak manafaat itu dipertimbangkan dahulu, bukan diremehkan, walau pun ianya datang daripada kelompok lawan kita. Budaya begini telah lama diamalkan oleh negara-negara maju.
Namun begitu, rupanya Tun Dr Mahathir Mohamad bukanlah seperti orang biasa. Beliau seorang yang kuat semangat, cekal dengan prinsip dan tidak mudah mengalah dengan sindiran dan tohmahan orang ramai. Seandainya beliau berpendapat sesuatu tindakannya betul, beliau akan terus mencuba tanpa ragu-ragu. Kalau kita imbau kembali , Tun Abdullah Ahmad Badawi akhirnya berundur juga dari jawatan Perdana Menteri ke 5, ekoran asakan bertalu-talu dari Tun Dr Mahathir Mohamad dan orang-orang UMNO sendiri.
Banyak orang berkata, dalam politik ini kita perlu banyak melaku“ manoeuvres “. Banyak “ manoeuvres” bukannya bermakna kita meninggalkan prinsip-prinsip perjuangan. Ianya adalah strategi dan sentuhan-sentuhan untuk menghasilkan apa yang kita perjuangkan.
Tanggal 5 September 2016, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menjadi perhatian umum rakyat Malaysia, apabila beliau hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan sokongannya kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dalam usaha menyekat penguatkuasaan akta Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Selanjutnya, Tun Dr Mahathir telah menghulurkan salam erat sambil bertanya khabar kepada DSAI dengan diperhatikan oleh ramai orang. Ada pihak yang menamakan peristiwa tersebut sebagai “Salam Bersejarah” . Kesanggupan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk datang sendiri bertemu DSAI adalah sesuatu yang mengejutkan dan mengharukan. Mana mungkin orang yang lebih tua, mantan Perdana Menteri pula datang sendiri menemui seorang banduan dan musuh ketatnya suatu waktu dulu.
“ Manoeuvres “ terkini Tun Dr Mahathir Mohamad ini telah menambahkan banyak kawan kepada beliau dan telah mengurangkan banyak musuh kepadanya. Betul lah seperti kata peribahasa Melayu, pertemuan dan salam erat antara dua tokoh tersebut umpama “ Biduk Berlalu, Kiambang Bertaut “. Perbezaan pendapat dan perseteruan antara dua tokoh negarawan ini sewajarnyalah ditangani dengan baik dan dilupakan oleh keluarga dan sahabat-sahabat mereka.
Kelihatannya asakan Tun Dr Mahathir Mohamad kali ini terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak supaya berundur daripada jawatan Perdana Menteri ke 6 melibatkan juga pihak pembangkang. Ini bermakna Tun Dr Mahathir Mohamad sudah mempersiapkan strategi dan langkah yang lebih rapi dan mantap. Itu lah keistimewaan Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau tidak akan mudah mengalah dan duduk diam selagi impiannya tidak tercapai. Harapan kita semua agar ianya dapat berjalan dengan baik dan dalam kerangka undang-undang yang dibenarkan. Kita tidak impikan suatu keadaan huruhara yang pastinya akan terus menjejaskan ekonomi dan keselamatan Negara.