Kunjungan ke Pejabat Pilihan Raya Wilayah Persekutuan itu sudah dimaklumkan, tetapi sebaik tiba diberitahu SPR dilarang bertemu mana-mana parti politik selama 1 bulan
KUALA LUMPUR: Wakil rakyat pembangkang pulang daripada pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membincangkan cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya pulang dengan tangan kosong.
Malah mereka tidak dibenarkan masuk Pejabat Pilihan Raya Negeri Wilayah Persekutuan hari ini, walaupun kunjungan itu sudah dimaklumkan, menurut Ahli Parlimen DAP Tan Kok Wai.
“Kami kecewa. Kami sudah maklumkan kunjungan ini, yang berhasrat untuk mendengar penjelasan mengenai cadangan persempadanan semula dan mengambil peta persempadanan baharu untuk kawasan Parlimen Wilayah Persekutuan.
“Pada awalnya kami diberitahu kunjungan kami tidak akan diterima secara rasmi, tetapi kami boleh melawat (secara tidak rasmi) untuk mendapatkan maklumat,” katanya kepada pemberita di sidang media di ruang legar Menara TH Selborn.
Ketika berada di sana, kumpulan itu dimaklumkan mengenai larangan pertemuan antara parti politik dan SPR selama 1 bulan sepanjang cadangan persempadanan sedang berlangsung.
Ini menyebabkan kumpulan itu percaya badan pemantau pilihan raya itu bergerak mengikut arahan kerajaan Barisan Nasional.
“Nampaknya BN bukan sahaja menggunakan persempadanan untuk manfaatnya, tetapi juga SPR nampaknya diperalat untuk menafikan hak wakil rakyat Pakatan Harapan untuk meneliti cadangan persempadanan itu,” dakwa Kok Wai.
Pengarah Pilihan Raya Amanah Dr Hatta Ramli bersetuju dengan kenyataan Kok Wai itu, dan mengkritik larangan 1 bulan yang dilihatnya berlawanan dengan tanggungjawab SPR kepada rakyat.
“Pelanggan SPR adalah orang awam dan parti politik berdaftar, umumnya sesiapa sahaja yang prihatin akan isu berkaitan pilihan raya.
Read More / Baca Lagi >>