Bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pengambilalihan parti baharu di Sabah kelak, bukan membangkitkan salah laku mana-mana pemimpin tetapi bagi melahirkan hala tuju yang lebih baik dari parti kerajaan sedia ada.
Beliau yang masih enggan menyatakan nama parti berkenaan berkata, perbincangan mengenai pengambilalihan parti yang telah ditubuhkan itu, telah lama dibincangkan dengan terperinci bersama beberapa pemimpin yang menyokong dan berada di landasan sama.
"Saya tubuhkan parti bersama dengan rakan-rakan bukan membangkitkan salah laku mana-mana pemimpin tetapi bagi melahirkan hala tuju yang lebih baik dari parti kerajaan sedia ada.
"Parti ini parti tempatan dan untuk semua kaum di negeri ini dan kita akan putuskan dasar parti, siapa yang menjadi calon dan hala tuju dengan acuan sendiri dan tidak merujuk dengan mana-mana pemimpin di Kuala Lumpur,"katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidiladha di Kg. Damai Tawau semalam.
Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna ini berkata, dengan pengambilalihan parti berkenaan yang dijenamakan semula itu akan dapat membawa pembangunan yang lebih baik kepada negeri ini secara keseluruhan.
"Perjuangan parti ini, bukan untuk menanam kebencian kepada pemimpin sedia ada atau bersifat politik kenegerian sebaliknya ianya bagi memperjuangkan hak rakyat dan akan mengubah landskap politik Sabah.
"Kita percaya dengan kuasa rakyat dalam menentukan kerajaan dan kita yakin dengan sambutan dan sokongan luar biasa yang diterima setakat ini termasuk kerjasama dengan parti-parti yang menyatakan kesediaan bersama kita"katanya lagi.
Turut hadir dalam majlis yang dihadiri 5,000 penyokong itu Ahli Parlimen Penampang Deirell Leiking, Ahli Dewan Undangan Negeri Mayog, Terrence Siambun dan Presiden Kadazan Dayak Murud Malaysia, Datuk Peter Anthony.
Read More / Baca Lagi >>