Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia atau SPR adalah sebuah badan bebas. Kerja mereka ialah menguruskan perjalanan pilihanraya dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya
Antara perkara lain berkaitan pilihanraya yang menjadi tugas SPR ialah mendaftar pengundi dan melakukan persempadanan semula kawasan-kawasan Parlimen dan juga DUN.
Berbanding menguruskan perjalanan pilihanraya atau melakukan pendaftaran pemilih, melakukan persempadanan atau melukis semula kawasan-kawasan pilihanraya seringkali menimbulkan bantahan serta rungutan.
Mengikut undang-undang, persempadanan kawasan pilihanraya perlu dilakukan pada setiap lapan hingga sepuluh tahun sekali. Ia bertujuan mengelakkan ketidakseimbangan pengundi berikutan kemungkinan berlakunya pertambahan penduduk dalam tempoh tersebut.
Kali terakhir persempadanan semula peringkat Parlimen dilakukan ialah pada 2003, di Sabah pada 2005 dan di Sarawak pada 2015 yang lalu.
Persempadanan semula kawasan pilihanraya yang biasanya menyaksikan jumlah kerusi Parlimen turut ditambah, memerlukan sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat. Itulah yang berlaku sebelum ini seperti yang dilakukan SPR pada 2003, 1994 dan tahun-tahun sebelumnya.
Dalam persempadanan yang dicadangkan SPR kali ini, ia tidak melibatkan pertambahan jumlah kerusi Parlimen, sebaliknya hanya kawasan-kawasan pilihanraya itu dilukis semula atau dipecah-pecahkan.
Oleh kerana ia tidak melibatkan pertambahan jumlah kerusi Parlimen, maka kelulusan dua pertiga di Dewan Rakyat adalah tidak diperlukan. Persempadanan kali ini hanya memerlukan undi majoriti mudah daripada Ahli-Ahli Parlimen saja.
Banyak isu timbul dalam persempadanan kali ini. Antara yang paling diperbualkan ialah kawasan Melayu dikecilkan, manakala kawasan yang majoriti bukan Melayu dibesarkan lagi. Lantaran itu, lukisan baru kawasan pilihanraya ini dilihat seolah-olah untuk memberi kelebihan kepada UMNO memenangi banyak kerusi Parlimen dalam PRU 14 akan datang yang menyaksikan "pertarungan hidup atau mati" bagi karier Najib.
Read More / Baca Lagi >>