Muhyiddin buat pertama kali menyampaikan ceramah dalam program PAS semalam dalam usaha meyakinkan parti itu bekerjasama dengan pembangkang lain.
KEMAMAN: Dalam ceramah yang buat pertama kali di atas pentas PAS, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menawarkan kerjasama antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dengan PAS dan Pakatan Harapan bagi memastikan satu lawan satu menentang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Presiden PPBM itu memberikan 3 jenis kerjasama yang boleh berlaku antara mereka iaitu pembentukan barisan pembangkang, kerjasama antara PPBM, PAS dan Pakatan Harapan (PH), atau kerjasama pilihan raya (electoral pact) antara kesemua mereka.
“Kita yakin kerjasama ini akan menggoncang orang Putrajaya dan silap-silap dia tidak akan buat pilihan raya sampai bila-bila,” kata Muhyiddin yang berceramah di atas pentas PAS di Kemaman, Terengganu, malam tadi.
Dalam ucapan itu, Muhyiddin turut mengesahkan pertemuannya dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang beberapa minggu lalu, yang menurutnya berjalan dengan baik.
Muhyiddin juga mengaku sudah beberapa kali bertemu dengan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali, untuk tujuan yang sama.
Muhyiddin yakin, melalui perbincangan dengan semua pihak itu, pertandingan satu lawan satu yang dicita-citakan itu akan boleh berlaku dalam PRU nanti.
“Ini adalah jihad untuk kita memelihara maslahah Malaysia di masa depan,” kata Muhyiddin di depan kepimpinan dan penyokong PAS Terengganu
Walaupun rata-rata PH yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah bersetuju bekerjasama dengan PPBM, pendirian PAS dilihat masih samar, dengan tiada keputusan jelas daripada pucuk pimpinan sama ada mahu mengadakan kerjasama dengan parti yang berusia kurang sebulan itu.
PAS juga dilihat kurang senang dengan kehadiran DAP dan Amanah, sementara masih menjalinkan hubungan dengan PKR.
‘Beri kami kubu Umno’
Menurut Muhyiddin, partinya sedia bekerjasama dan berunding dengan PAS termasuk pembahagian kerusi pilihan raya.
“Bukan kita nak ambil kerusi yang sudah dimenangi PAS tetapi kerusi yang Umno menang itu, bagilah kepada kami untuk kami kalahkan Umno.
“Kita akan pastikan Umno tewas dan kini menang dan membentuk kerajaan bersama,” kata Muhyiddin.
Read More / Baca Lagi >>