Presiden Amanah, Mohamad Sabu menegaskan parti itu akan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Kelantan dalam pilihan raya akan datang.
Disambut tepukan gemuruh hadirin yang memenuhi Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru malam tadi, beliau berkata, hal itu hanya boleh dicapai jika bersama dalam Pakatan Harapan.
"Di Malaysia, kalau kamu nak politik sorang-sorang, eloklah duduk sorang-sorang, jadi kera sumbang.
"Dalam politik tidak ada musuh yang tetap, tidak ada kawan yang tetap," ujarnya sambil menyebut beliau pernah dipenjara di bawah pemerintahan Tun Mahathir.
Beliau yang juga dikenali sebagai Mat Sabu berkata, bekas Perdana Menteri itu mahu BN dijatuhkan pada ketika tidak mempunyai kuasa.
"Sekarang dia (Tun Mahathir) tiada kuasa, dia mahu BN jatuh dan dia nak berkawan dengan kita.
"Berkatalah yang hak depan pemerintah yang zalim bukan dengan pencen yang zalim," ujarnya sempena Ceramah Kemuncak Setahun Amanah anjuran Wilayah Persekutuan.
Selanjutnya, beliau menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin yang berjiwa lebih besar berbanding dirinya.
"Ini orang yang berjiwa besar, boleh tandatangan deklarasi bersama untuk menentang MKN (Majlis Keselamatan Negara).
"Pakatan Harapan dalam mesyuarat pertama di Subang Jaya masih lagi mengiktiraf kalau Pakatan Harapan menang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal Perdana Menteri," tegas Mat Sabu lagi.