Barangkali ramai antara kita sudah membaca berita atau menonton video melalui media sosial mengenai pertembungan antara Bersih 5 dengan Gerakan Baju Merah di Perak semalam.
Peserta jelajah Bersih yang bergerak secara aman cuba dihalang oleh Gerakan Baju Merah melalui aksi "ala samseng" dan "cuba cari gaduh" dengan mereka.
Tidak pernah berlaku di bawah mana-mana Presiden UMNO atau Perdana Menteri sebelum ini, wujud apa yang berlaku seperti semalam. Lebih-lebih, Gerakan Baju Merah ini diketahui oleh seorang Ketua UMNO Bahagian, sebuah parti yang sedang menguasai kerajaan.
Sebelum ini, jika ada pihak-pihak tertentu yang ingin mengadakan demo, jelajah atau apa-apa yang berbentuk perhimpunan awam, pihak polislah yang bertanggungjawab menanganinya. Tetapi, sekarang ini Baju Merahlah yang lebih ke depan.
Inilah salah satu kehebatan atau ciri wassatiyah yang telah berjaya diserapkan oleh kepimpinan Najib Razak. Kumpulan Baju Merah ini dikhabarkan bukan saja ada di setiap negeri, malah sudah meresap ke ceruk-ceruk kampung di seluruh negara.
Dengar khabarnya juga, oleh kerana gerun dengan kehebatan Kumpulan Baju Merah itu, siri jelajah Bersih 5 yang banyak dirancang seterusnya di tempat-tenpat lain bakal dibatalkan sama sekali. Tidak ada lagi yang berani terlibat dengan jelajah tersebut, malah ramai yang menggigil ketakutan selepas insiden semalam.
Kemungkinan juga, disebabkan penangan Gerakan Baju Merah yang menakutkan dan sekaligus menjadi kebanggaan UMNO serta Najib itu, perhimpunan Bersih 5 pada 19 November depan tidak akan berlangsung seperti yang dirancang.
Seterusnya, turut menjadi perkhabaran ialah semua yang terlibat dalam Perhimpunan Bersih 5, termasuk pemimpin parti-parti pembangkang, akan turut melakukan "pusingan U" dan ikrar taat setia mengumumkan sokongan tidak berbelah bagi kepada kerajaan dalam sehari dua ini.
Mereka kini dikatakan sedang mencari tarikh yang sesuai yang mengumumkan secara terbuka sokongan tidak berbelah bagi itu.
Kini mereka sedar bahawa Gerakan Baju Merah, melalui aksi "ala samseng" dan "cari gaduhnya" itu, sudah berjaya mewujudkan keamanan dan kestabilan dalam negara. Semua isu berbangkit mengenai pilihanraya tidak berbangkit lagi.
Read More / Baca Lagi >>