Orang Islam memperjuangkan akidah tetapi akhlak Islam ada pada bukan Islam, tegas Presiden Amanah, Mohamad Sabu.
Menurutnya, gejala rasuah menjadi masalah yang dihadapi oleh orang Islam di seluruh dunia.
"20 negara yang paling rendah rasuah di dunia, tiada satu pun negara orang Islam.
"Sebab itu, 10 negara rasuah paling tinggi di dunia, hampir semuanya negara orang Islam," ujarnya dalam Ceramah Kemuncak Setahun Amanah di Kampung Baru, Kuala Lumpur malam tadi.
Sehubungan itu, beliau menyeru supaya penekanan seimbang diberikan terhadap aspek akhlak dan akidah.
"Kita mesti berani membuat perubahan supaya akhlak dengan akidah kita cantumkan supaya Islam dilihat penyelamat kepada manusia bukan digeruni dan ditakuti.
"Kenapa orang Islam tidak anti-rasuah? Kita bercakap di masjid tetapi praktisnya lari," ujarnya yang mengaku bersama Pas selama 38 tahun.
Lebih malang lagi, tambahnya, apabila dunia mengenali Malaysia sebagai negara kleptokrasi iaitu diperintah oleh penyamun.
"Bagaimana beg tangan Rosmah jatuh?" sinisnya lagi apabila menceritakan kembali tentang pendedahan harga beg isteri Perdana Menteri Singapura yang kurang daripada RM50.