
KUALA LUMPUR, 26 Mei — Pasukan polis sentiasa bertindak ke atas mereka melanggar undang-undang tanpa memihak, kata Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika tangkapan besar-besaran baru-baru ini tidak disenangi oleh pemimpin dan penyokong pembangkang Pakatan Rakyat (PR).
Khalid menolak kenyataan bahawa polis adalah agensi pro-kerajaan, ekoran tuduhan yang dilemparkan sebaik tangkapan pemimpin PR dibawah Akta Hasutan 1948, antaranya naib presiden PKR Chua Tian Chang dan pemimpin PAS, Tamrin Ghafar.
“PDRM tidak pernah memihak dan pro sesiapa pun. Polis adalah sebuah badan yang cuma menguatkuasakan undang-undang yang dikeluarkan serta mengambil tindakan kepada pihak yang cuba menimbulkan ketegangan.
“Jika kita tidak bertindak, negara kita mungkin akan berhadapan dengan krisis ketenteraman awam sekali gus meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak selamat untuk diduduki. Tidak kira siapa dan individu di pihak mana yang melanggar peraturan, kami akan tangkap,” kata Khalid yang dipetik dalam satu wawancara dengan akhbar Mingguan Malaysia hari ini.
Semasa menangkis tuduhan pihak polis mengabaikan pencegahan jenayah kerana memberi tumpuan kepada perhimpunan PR, Khalid menegaskan anggota polis yang ditempatkan dalam satu perhimpunan besar penting bagi memastikan semuanya berjalan lancar.
“Jangan ingat apabila kita menganjur perhimpunan tidak perlu anggota polis untuk mengawalnya. Oh...tidak perlu ini (polis) sebab ia akan aman dan polis boleh buat kerja lain, boleh pergi cegah jenayah.
“Apa kata jika ada satu kumpulan lain pula yang bertentangan pandangan dan pendapat mengadakan perhimpunan sama dan berlakulah pertembungan. Jika berlaku pertembungan dan tidak ada pengadilnya (polis) apa akan jadi?” tegas Khalid lagi.
Read More / Baca Lagi >>