
Timbalan Pengarahnya, Ustaz Fakhrulrazi Mokhtar (gambar) berkata, gerak kerja PAS bukan hanya di musim pilihanraya sahaja sebaliknya sentiasa berjalan tidak kira masa dan keadaan.
Jelas beliau, jentera perlu membuat ‘post moterm’ keputusan pilihanraya lalu dan mengenalpasti kekurangan yang berlaku dalam gerak kerja seterusnya mencari formula untuk penambahbaikan.
“Jentera harus mengkaji kekurangan yang ada, misalnya sokongan melayu masih tidak begitu memuaskan dan kita harus nilai kenapa perkara itu berlaku.
“Kita harus cari formula untuk memperbaiki kelemahan itu dan perlu digerakkan daripada sekarang, jangan tunggu di saat hampir pilihanraya nanti,” katanya kepada Harakahdaily hari ini.
Bendahari Pemuda PAS Perak itu menjelaskan, jentera harus fokus kepada pendaftaran pengundi baru yang akan mengundi buat kali pertama dalam PRU14 nanti.
Katanya, ianya sangat penting bagi memastikan golongan muda akan bersama serta mengundi PAS dan Pakatan Rakyat.
“BN mengakui kurang mendapat sokongan kepada orang muda yang celik maklumat dalam PRU13 lalu, ianya sudah semestinya semakin parah apabila lebih ramai golongan itu akan mengundi dalam PRU14 nanti.
“Justeru jentera harus lebih dominan mendaftarkan pengundi baru sejak daripada awal lagi bagi mengelak berlakunya kelewatan pendaftaran seperti yang terjadi dalam PRU13 lalu menyebabkan pengundi muda yang menyokong kita (Pakatan Rakyat) gagal undi mengundi,” ujarnya.