PETALING JAYA 26 MEI : Satu jawatan baru akan ditubuhkan dalam Pejabat Menteri Besar bagi Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang akan menjadi ‘political liaison’ atau pegawai perhubungan politik.
Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan penggulungan di Kongres Nasional Keadilan ke 9 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya, semalam.
Katanya, jawatan itu akan mengendalikan hal ehwal politik dalaman negeri sekaligus membantu Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tanpa mencampuri urusan pentadbiran awam atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution akan diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan “political liaison” yang bakal ditubuhkan dalam masa terdekat ini.
“Lantikan ini adalah bagi memperkasa pentadbiran Selangor bagi penggal kedua. Penubuhan political liaison ini dibuat bagi menterjemahkan asas perjuangan parti dalam bentuk pelaksanaan politik yang tidak terlalu rigid (ketat),” katanya.
Jelasnya, jawatan itu juga bagi melicinkan hubungan antara kerajaan negeri dengan program yang melibatkan parti Pakatan, dan proses pelantikan Saifuddin itu akan diserahkan kepada Khalid untuk dilaksanakan dalam masa terdekat.
Sementara itu, Abdul Khalid menyambut baik perlantikan Saifuddin itu kerana jawatan itu akan menguruskan hal ehwal politik dalam negeri.
Read More / Baca Lagi >>