Pas
Firdaus, A Rahim
SEGAMAT - Dakwaan seorang pemimpin MCA di daerah ini yang menyifatkan Pas sebagai 'ultra konservatif' dan mundur disangkal Pas Segamat.

Yang Dipertuanya, Firdaus Masod berkata, kenyataan pemimpin MCA itu dibuat kerana mempertikai kenyataan Pas yang membantah penganjuran tarian yang didakwa separuh bogel di sebuah pusat membeli belah di Segamat, baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, Pas menyangkal dakwaan itu kerana tuduhan berkenaan seolah-olah mempamerkan suatu doktrin yang membahayakan norma masyarakat Malaysia.

“Kenyataan pemimpin MCA itu adalah satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan menghina kaum wanita di Malaysia yang selama ini terpelihara kehormatannya di khalayak ramai.

“Tuduhan ultra-konservatif dan mundur terhadap Pas juga satu tuduhan yang tidak berpaksi kepada kebenaran. Maju atau mundur sesebuah masyarakat dan negara bukan dinilai atas sudut keberanian rakyatnya memperdagangkan tubuh, tetapi berdasarkan pemikiran yang positif,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.