Tiga orang disahkan cedera akibat runtuhan tanjakan konkrit dan besi penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang di kawasan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di George Town malam ini.

Dua daripada mereka adalah pekerja asing iaitu warga Indonesia yang dikenali sebagai Slamat, 36, dan warga Myanmar Tin Maung Iwin, 39. Mereka menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan stabil.

Timbalan Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Jaafar memaklumkan pemberita kedua-dua mangsa dikatakan sedang bekerja di tapak binaan ketika kejadian pada kira-kira 7.15 malam.

Seorang lagi yang dilaporkan cedera ialah wanita tempatan, Thilasheni Rajendran, 24, akibat terkena serpihan runtuhan di bahagian tangan.

Ketika kejadian, Thilasheni sedang memandu dan beliau sempat memberhentikan kenderaannya pada jarak kira-kira dua meter dari lokasi kejadian.