Safwan Anang
Safwan Anang.. 'Saya sendiri telah mempertimbangkan untuk bertanding pada PRU13'.
 
KEBANGKITAN suara anak muda semakin jelas terserlah sejak pilihan raya umum 2008 dengan menyaksikan ramai pemimpin muda diberi mandat oleh rakyat dalam membuat perubahan kepada landskap politik negara yang perlu menerima pakai pendapat dan memahami kemahuan mereka dalam menentukan hala tuju negara.
Penerimaan rakyat terhadap pemimpin muda tidak dapat disangkal lagi. Ini terbukti apabila golongan mahasiswa kini menjadi pemimpin kecil dalam masyarakat dan akar umbi dalam memberi penerangan kepada rakyat akan politik baru kini mula diperkatakan.

Mahasiswa juga tidak terlepas dalam memikul tanggungjawab ini dalam memastikan rakyat mendapat pilihan terbaik dalam pentadbiran negara menerusi dasar dan polisi yang lebih baik untuk kepentingan rakyat.

Ikuti temu bual Sinar Harian Online bersama Muhammad Safwan Anang, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) dalam membicarakan calon wakil rakyat yang ditekankan anak muda dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak lama lagi.


SINAR HARIAN ONLINE: Apakah ciri-ciri seorang calon wakil rakyat PRU13 yang ditekankan oleh golongan muda dan apakah kaitannya dengan faktor 'winnable candidate' yang disyaratkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini?
SAFWAN ANANG: Faktor atau ciri-ciri golongan seperti kami, mahasiswa dan anak muda tekankan dalam memenangi pilihan raya akan datang ialah pertamanya mereka mestilah sesuai dengan kehendak semasa. Bagi saya, pemimpin masa ini mereka perlu menyelami dan bersama-sama dengan golongan muda terutamanya, mereka perlu menitikberatkan soal pembangunan golongan muda, sebagai contoh dalam isu pembiayaan pendidikan itu sendiri.
Mereka juga mestilah rapat dengan anak muda dan mendekatkan diri golongan ini menerusi media sosial dan sebagainya. Dalam keadaan sekarang ini, media sosial itu begitu luas seperti Facebook, Twitter dan YouTube. Pemimpin perlu mendalami ataupun bersama-sama dengan anak muda dengan cara berinteraksi menggunakan media sosial. Mereka perlu beri maklum balas terhadap isu-isu anak muda sekarang.

Bagi saya kenapa penting bagi mereka kerana keadaan negara kita tidak sebelumnya, pemimpin sifatnya kadang kala lebih banyak turun padang dan menghadiri majlis-majlis kenduri ataupun sebarang aktiviti yang dianjurkan oleh penduduk setempat.Tetapi bagi saya, anak muda juga mereka perlukan maklum balas dalam media sosial dan itu yang menjadikan pemimpin hari ini mereka perlu cekap menguasai media semasa, dan menjawab segala persoalan dalam konteks mereka memahami hasrat orang muda.

Saya tekankan sehingga sekarang dalam isu pembiayaan pengajian tinggi, saya masih berpendirian bahawa mana-mana pemimpin dari parti mana sekalipun, mereka mesti menitikberatkan soal pembiayaan pendidikan tinggi iaitu isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang pernah saya bangkitkan sebelum ini. Kita lihat hal itu sebagai isu yang besar. Baru-baru ini ada sekumpulan mahasiswa yang membuat sidang media mengenai isu pengangguran di kalangan mahasiswa Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Kita rasa, hari ini, universiti swasta ini tidak disediakan ruang kerja yang tepat apabila mereka tamat pengajian. Pemimpin sekarang perlu tangani masalah ini segera dan mereka perlu menyediakan peluang pekerjaan yang baru. Dalam keadaan konteks ekonomi semasa, sudah tentulah anak muda melihat pemimpin hari ini bahawa mereka perlu cekap menguruskan soal kehidupan anak muda termasuklah pembiayaan pengajian tinggi.