Mohd Tap Salleh KUALA LUMPUR - Hak untuk 'menapis' calon bertanding Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada pengundi seiring dengan tradisi amalan demokrasi yang sebenar.

Sehubungan itu, menurut Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr Mohd Tap Salleh, perundangan sedia ada sudah mencukupi dalam menentukan calon-calon yang bertanding itu 'bersih' rasuah dan sebarang kes jenayah.

Selebihnya ujar beliau, biar rakyat memilih siapa calon yang menjadi pilihan mereka untuk mewakili kawasan masing-masing selepas PRU13 kelak.

Cumanya, jika tapisan calon-calon pilihan raya ini merangkumi soal integriti mereka, buat masa ini katanya, tidak ada mekanisme yang benar-benar konkrit untuk mengukur sama ada calon itu benar-benar berwibawa dari segenap sudut katanya.

"Boleh mungkin (bentuk undang-undang tapis)... tapi yang ada sekarang ini, setahu saya agak susah.

"Tapi kalau boleh dibentuk kemudian hari kelak, yang boleh diterima oleh semua pihak, itu mungkin. Tapi buat masa ini, pada saya untuk mengatakan orang ini layak atau tidak, undang-undang sudah ada dan jelas. orang macam ini boleh, orang macam ini tak boleh, memang sudah ada undang-undangnya," kata beliau ketika ditemui Sinar Harian Online, hari ini.