KOTA BHARU: Artis Diana Amir atau nama sebenarnya
Nur Diyana Amir Hashim, tidak dapat menahan sebak apabila bersua dan
mula berbicara dengan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul
Aziz Nik Mat.
Pertemuan 25 minit itu berlangsung di Pejabat Menteri Besar kira-kira jam 11.35 pagi tadi.
Diana terpaksa berdiam diri seketika mengumpul ketenangan agar sebak berlalu pergi sebaik sahaja dijemput duduk di hadapan Tuan Guru dan mendengar bicara.
Diana yang akhirnya tenang semula akhirnya sebak kembali apabila Tuan Guru bertanya apa kisah di sebalik sehingga Diana berhasrat untuk berhijrah.
“Saya teringat pesanan Rasulullah s.a.w. sebelum baginda wafat, pesanan terakhir baginda ummati…ummati…di saat kematian baginda, masih lagi mengingati umatnya, betapa sayangnya baginda pada umatnya, tetapi kita…” ujarnya dengan nada yang tersekat-sekat.
Tuan Guru tidak menafikan perkara itu, malah baginda sebenarnya adalah rujukan yang sebenar untuk manusia di dunia ini.
“Baginda tidak berpesan pada saudara mara terdekatnya, tetapi pada umat baginda termasuk kita semua,” ujarnya.