Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof SHAH ALAM - Meskipun menghargai cadangan yang diberikan oleh bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman agar diadakan daftar pemilih baru setiap kali menjelang pilihan raya umum, pimpinan semasa suruhanjaya itu mahu syor itu dikaji dengan mendalam jika mahu ia dilaksanakan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, perancangan yang teliti diperlukan jika sistem itu mahu diguna pakai kelak.

"... perlu dikaji terlebih dahulu dengan teliti dalam beberapa aspek terutamanya dari segi pindaan undang-undang, kos terlibat dan keupayaan organisasi SPR dan sebagainya," ujar Abdul Aziz yang kini berada di Mekah bagi mengerjakan umrah.

Dalam satu wawancara khas minggu lalu, Abdul Rashid memberitahu, pilihan raya di negara ini "bersih" namun banyak komponennya tidak lengkap seiring dengan perkembangan dan kehendak semasa.