BUKIT MERTAJAM - Polis menembak mati dua daripada tujuh penjenayah yang
diburu setelah meloloskan diri daripada tahanan ketika dalam perjalanan
dari Penjara Pulau Pinang ke Mahkamah Butterworth Isnin lepas.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar yang mengetuai pasukan khas memburu tahanan terbabit berkata, kedua-dua penjenayah itu ditemui menaiki sebuah kereta jenis Proton Perdana di Kampung Pelet di sini dan cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis.
"Polis kemudian melepaskan tembakan pada tayar kereta itu yang menyebabkan pemandunya hilang kawalan sebelum kereta itu terhumban ke dalam sungai dan kemudian berlaku tembak menembak," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Polis masih belum dapat mengesahkan identiti penjenayah yang ditembak mati itu.
Katanya, bertindak atas malumat awam, polis juga menyerbu kawasan hutan di Kampung Pelet di situ dan ternampak kelibat beberapa lagi penjenayah terbabit tetapi mereka sempat melarikan diri.