Datuk Seri Abu Kassim Mohamed PUTRAJAYA - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abu Kassim Mohamed merayu kepada ahli politik semua parti, agar tidak 'menembak SPRM dari belakang', suatu kecenderungan yang beliau katakan akan hanya menyulitkan lagi usaha memerangi rasuah.
"Saya ingin katakan kepada ahli politik daripada semua parti... janganlah tembak dari belakang. SPRM adalah tentera untuk memerangi rasuah. Jika anda menembak kami dari belakang, kepada siapa lagi masyarakat boleh meminta pertolongan untuk menentang rasuah?" katanya pada majlis jamuan malam sempena sambutan Hari Pencegahan Rasuah Sedunia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini malam tadi.
Abu Kassim berkata, SPRM, yang dulunya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah, bersama rakannya dari Hong Kong dan Singapura adalah antara badan pencegahan rasuah tertua di dunia, yang tugas mereka mendapat pengiktirafan antarabangsa, terutama oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu.
Katanya, sebelum 1990, hanya terdapat 20 badan pencegah rasuah di seluruh dunia, tetapi sekarang, jumlahnya bertambah kepada 150 dan ini mencerminkan wujudnya kesedaran yang semakin meningkat tentang pentingnya memerangi penyakit itu.