Oleh Hayar Hassan
Seluroh negara telah mengetahui apa yang telah terjadi kepada Saudara Lim Guang Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agong DAP. Beliau telah dituduh di mahkamah atas tuduhan rasuah dan salahguna kuasa. Semua orang memberikan komen terutamanya politikus-politikus parti pemerintah atau pun daripada parti-parti pembangkang. Kelihatannya strategi-srategi BN untuk memporakperandakan pakatan pembangkang menjelang PRU ke 14 sedang diteruskan.
Dalam sistem demokrasi, masing-masing punya hak untuk bersuara untuk menyatakan pendapat. Cuma dewasa ini , ada sedikit kelainan terhadap amalan demokrasi di Malaysia. Banyak akta dan perundangan yang boleh menyebabkan anda boleh didakwa atas alasan tulisan dan percakapan anda di khalayak ramai telah menyinggung hati dan perasaan individu-individu tertentu.
Kes terbaru, dikatakan seorang warga emas berumur 76 tahun daripada Johor telah direman selama tiga hari semata-mata kerana telah menulis sesuatu yang dikatakan telah menjatuhkan maruah PM di dalam kumpulan " What's group" nya. Rupanya ber"title"kan warga emas pun tidak banyak keistimewaan. Seperti orang lain juga , warga emas terpaksa membayar GST dan terdedah kepada direman oleh pihak berkuasa apabila keadaan memerlukan. Warga emas cuma mendapat diskaun bayaran tiket KTM apabila menggunakan ETS.
Rupanya di zaman serba canggih ini, jenayah-jenayah juga bertukar wajah. Dahulu, masyarakat hanya tahu bahawa anda telah melakukan jenayah sekiranya anda mencuri, merompak, membunuh, mencederakan orang lain dan lain-lain lagi. Sekarang ini hanya dengan menulis di alam maya anda boleh didakwa seandainya tulisan anda itu bersifat fitnah, dusta atau pun menghina sesaorang. Di dalam Islam, kita juga diajarkan begitu. Namun demikian, kita dibolehkan untuk membuka aib sesaorang seandainya perbuatan itu boleh menghindarkan orang lain terinanya.
Contohnya kita membuka aib seorang pemuda yang terbukti sering menipu dan memperdayakan gadis-gadis dan keluarga mereka. Apabila kita menceritakan kebejatan pemuda berkenaan kepada bakal keluarga gadis lain yang bakal akan dipinangnya. Ini adalah dibenarkan malah dituntut agar keluarga dan gadis tersebut selamat daripada tertipu oleh pemuda bejat itu. Demikian lah indah dan lengkapnya ajaran agama Islam. Cuma kita kena pandai menjejaki ilmu-ilmu yang bermanafaat dari guru-guru agama yang amanah dalam memberikan kuliah, bukan sebarangan orang yang bergelar Al Fadil Ustaz !.
Kembali kepada tribulasi yang sedang dialami oleh YAB Ketua Menteri Pulau Pinang, Saudara Lim Guan Eng, ini bukanlah pertama kali beliau dituduh di mahkamah Malaysia. Pada tahun 1994, LGE yang pada waktu itu sebagai Ahli Parlimen Kota Melaka, telah disabitkan penjara selama 18 bulan berkaitan kes pencabulan gadis remaja Melayu bawah umur. Sebelum itu, pada tahun 1987, Saudara LGE telah ditahan selama 18 bulan juga dibawah ISA dalam " Operasi Lalang " bersama-sama dengan beberapa tokoh-tokoh parti pembangkang.
Oleh yang demikian kes mahkamah , penjara dan tahanan tanpa bicara bukan lah perkara baru bagi tokoh pembangkang ini yang bernama LGE ! Tidak menghairankan apabila beliau mampu memberi komen, " Saya rela mati berdiri , daripada melutut tunduk kepada mereka !". Itu lah semangat dan prinsip seorang pejuang , rela menghadapi risiko dan sebarang tribulasi. Rupanya DSAI sudah mempunyai teman yang kental dan berhati waja dalam perjuangan ini. Semoga kedua-dua keluarga besar tokoh-tokoh ini bersabar dan tenang menghadapi mehnah ini. Kata pepatah Melayu lama , " Usah berumah di tepi pantai, kalau takut dilambung ombak". Ujian dan tribulasi yang terlalu berat seperti yang telah dan sedang dialami oleh DSAI dan LGE pastinya tidak akan dialami oleh politikus-politus parti pemerintah. Apa yang termampu dibuat oleh mereka adalah berundur daripada aktif berpolitik atau pun diberikan jawatan-jawatan ahli lembaga pengarah dalam syarikat-syarikat Kerajaan.