Saya tidak faham kenapa kita hendak berkelahi mengenai status langkah yang diambil oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat, atau kita menyusahkan dan mengusutkan fikiran mengenai sama ada tindakan DOJ sivil atau jenayah.
Apa yang lebih penting ialah cerita dalam tindakan tersebut.
Betul, tindakan itu tindakan sivil. DOJ memohon mahkamah untuk menyita pendapatan dan harta Wolf of Wall Street Motion Pictures dan Red Granite. Kepada kerajaan Amerika, belanja yang dibuat oleh Wolf of Wall Street dan apa-apa wang yang masuk ke dalam kantung Red Granite berpunca daripada wang yang dicuri dari syarikat 1MDB.
Wang yang dicuri dari 1MDB itu menyebabkan penghasilan Wolf of Wall Street dan Red Granite ialah satu tindak-tanduk jenayah (criminal conduct). Criminal conduct itu berlaku melalui pengubahan wang (money laundering). Yang menyebabkan kandungan dalam tindakan sivil itu ialah perbuatan jenayah oleh mereka yang berkait dengan 1MDB.
Melalui tindakan ini, satu dunia dan kita, tahu apa sudah berlaku. Rupa-rupanya semua belanja yang didakwa dilakukan Jho Low, dipercayai Riza Aziz buat, Qubaisi dapat, Badawy dapat, Tarek Obaid dapat, Casey Tang dapat, Eric Tan dapat, Jho Low dapat, adik perempuan Jho Low dapat dan MO1 dapat semua datang dari 1MDB. Semua wang curi. Duit rakyat Malaysia kena sekau, kita masih dayus tidak mahu bertindak?
Dan ini yang memelikkan. Kenapa kita, terutama orang Melayu merelakan wang kita dicuri? Apa kena dengan kepala kita? Wang kita kena curi , kita cakap tidak apa. Sebab ya? Sebab ini selari dengan agenda Melayu?
Adakah dengan menceritakan bahawa ianya tindakan sivil, maka musibah ke atas negara kita menjadi ringan? Jenayah bertukar menjadi kebajikan? Pencurian menjadi pelaburan sah?
AS$3.5 bilion telah dicuri dari kita dan adakah orang Melayu mempertahankan pencurian tersebut?
Yang lebih penting sepatutnya dan menjadi objek kepedulian kita ialah pendedahan yang lakukan oleh DOJ. Tanpa kita sedari, pemimpin negara kita telah bersubahat dan berkomplot mencuri duit dari 1MDB. Mengikut DOJ, AS$3.5 billion dicuri.
Kita nanti pula pendedahan oleh Switzerland, Hong Kong, Singapura, Perancis dan negara-negara lain. Duit 1MDB yang tidak dapat dikesan ialah sekitar AS$7 hingga 8 billion, dan adakah ia juga disonglap oleh geng 1MDB? Sebab, pada setiap waktu, urusniaga 1MDB berada dalam tangan mereka.
Read More / Baca Lagi >>